Sunday, September 25, 2016

Iffah dan Syaja'ah Dalam Sebuah Perjuangan Kehidupan

Assalamualaikum wrt wbt.


Another sharing from buku HAMKA which I feel kena simpan dalam blog for future reminder.


Iffah dan Syaja’ah (petikan dari buku Falsafah Hidup oleh HAMKA)


Iffah ertinya kesanggupan menahan diri. Gunanya ialah mengekang diri jangan sampai suka sahaja suatu kepuasan yang akhirnya membawa kemelaratan.


Syaja’ah ialah membangkitkan keberanian menempuh suatu kesakitan yang perlu buat maslahat kehidupan. 


Tiap-tiap perbuatan yang mengandungi perjuangan, mesti berdasarkan iffah dan syaja’ah. Dia iffah, sebab dia tidak peduli seruan nafsunya. Dan dia syaja’ah, kerana dia sanggup menderita buat itu. 


Seorang penghisap candu yang berjuang menghentikan kebiasaannya adalah seorang yang berperangai iffah, sebab dia telah berjuang melupakan suatu kepuasan yang tidak kekal yang telah terbiasa selama ini. Dia seorang yang gagah berani, syaja’ah. Sebab dia telah sanggup melepaskan dirinya dari tawanan candu, walaupun dia susah dan sengsara buat sementara.


Tetapi, kalau seseorang berani melompat ke dalam laut kerana mengejar wang logam yang dilemparkan orang dari atas kapal, dia bukan lagi bernama berani, bukan lagi bernama syaja’ah, tetapi setengah gila. Seseorang yang sudi memakai baju kotor, lari dari makanan yang enak, sampai menyakiti diri, semata-mata menjaga harta, bukan lagi iffah, tetapi bernama bakhil. 


Buah dari iffah ialah perangai yang bersifat pertahanan seperti sabar, pemaaf, mencukupkan apa yang ada (qanaah), rendah hati (tawadhu’) dan lain-lain lagi. Buah dari syaja’ah ialah perangai yang bersifat penyerangan seperti tahan, teguh, tangkas, perwira, berani menghadapi bahaya, maju ke depan terus terang dan setia memegang pendirian.



FOTA train station (September 2011)


Ps: Menarik bila HAMKA kupas mengenai Iffah dan Syaja’ah ni sebab membayangkan perjuangan sebagai seorang houseman bila masuk housemanship training nanti. Hoho. Moga Allah beri kekuatan bila tiba masanya, ameen.

No comments: